Monday, February 23, 2009

MRSM GRIK

Akhirnya, anak kedua kami, meninggalkan SMAKL, lalu berangkat ke MRSM Gerik, kira-kira 300 km dari Kuala Lumpur, dari rumahnya. Hari Ahad lepas, kami ke Gerik, menjenguknya. Terpaksa bermalam di Rumah Rehat Lenggong kerana keletihan untuk perjalanan sehari suntuk pergi dan balik KL-Grik-KL.

Perjalanan ke Grik adalah merupakan perjalanan nostalgia juga kerana saya pernah bertugas bersama rakan-rakan penyelidik arkeologi dari USM satu ketika dahulu. Saya pernah berada di bukit berhampiran Sungai Air Jada, tidak jauh dari pekan Lawin atau klinik kesihatan Lawin. Pernah juga kami bermalam di rumah staf di klinik berkenaan, yang selebihnya menyewa rumah penduduk kampung yang berhampiran.

Jalan dari KL ke Kuala Kangsar - adalah lebuh raya yang bagus, memasuki jalan baru Kuala Kangsar - Grik, adalah jalan "semi lebuh raya" kerana jalannya luas dan sangat baik penyelenggaraannya. Perbezaannya dengan Lebuhraya Plus hanyalah pada simpang untuk melintasi kampung. Kalau tak silap saya antara simpang Kuala Kangsar - Grik terdapat 3 lampu trafik. Yang lain, adalah baik, apatah lagi adanya gerai di sekitar Tasik Raban yang menyediakan ikan bakar dan ikan pekasam. Memang berbaloi. Semasa saya singgah makan di Dataran Ikan Bakar Tasik Raban, sejumlah bas yang berpenumpang orang loghat Pantai Timur menjamu selera ikan patin dan tempoyak. Tidak ada duanya!!

Khabarnya, MRSM Grik tahun lepas antara sekolah Mara yang terbaik dalam ranking - ke-2 selepas MRSM Kubang Krian (?) iaitu pencapaian pelajar PMR semua A adalah 153 orang daripada 195 orang (kalau tak silap angkanya). Jadi untuk mendapatkan keyakinan orang ramai, angka-angka ini penting kerana syarat kemasukan yang ketat memerlukan komitment tinggi daripada pentadbir dan guru memastikan P+P dilaksanakan sebaik mungkin.

Harap-harap, komitment guru dalam memberikan pelajaran kepada anak-anak kami masih tinggi dan diharapkan juga anak-anak kami sentiasa saja memberikan perhatian kepada pelajaran mereka.