Kampung Kuala Krau adalah salah satu kampung Orang Asli di Pulau Carey, kira-kira 45 minit dari Pekan Teluk Panglima Garang. Jalan tar dan lurus, melewati kawasan kelapa sawit kepunyaan Golden Hope, kemudian masuk melalui ladang tersebut, melalui jalan tanah merah sekira-kira 30 minit perjalanan. Jaraknya, saya kurang pasti. Masa yang diambil dari post pemeriksaan keselamatan ladang ke kampung juga amat bergantung kepada cuaca, sekiranya hujan, maka perjalanan semakin perlahan, atau bukan menggunakan 4WD, pastilah perjalanan lebih lambat. Hari Khamis yang lepas, tidak hujan, dan saya dapat berjumpa Batin Nengkah, Tok Batin Kampung Kurau, Pulau Carey.
Penduduk kampung tidaklah ramai, sekira-kira 20 buah rumah atau keluarga. Suku kaum Mah Meri ini beradaptasi dengan tradisi kelautan, mereka adalah nelayan, tidak seperti suku kaum yang lain seperti di daratan Pahang misalnya yang beradaptasi sumber hutan dan ladang.
Saya disambut oleh Batin Nengkah dengan mesra, tidak ada rasa sombong pada raut mukanya dan tidak ada rasa sangsi kepada saya, sebagai orang luar bertandang ke perkampungannya. Beliau bercerita tentang asal usul kampung ini, bermula sekitar tahun 1990, tatkala mereka mulai berpindah dari satu kawasan yang lain. Asalnya kampung ini sering dinaiki air masin, namun dengan bantuan Kerajaan Negeri Selangor dan JHEOA, maka dibina ban untuk mengelakkan air melimpahi kawasan ini.
Sosok Batin Nengkah yang tidak berpendidikan tinggi tapi berpandangan jauh amat menarik perhatian. Beliau tidak pernah merasa rendah diri walaupun di kalangan bukan masyarakatnya. Justeru itu, saya tidak menyangka yang beliau seorang Orang Asli, sebaliknya orang Teluk Panglima Garang!
Sewaktu rumah-rumah mulai didirikan, Batin Nengkah tidak merebut atau mendirikan rumahnya terlebih dahulu, sebaliknya memastikan anak-anak buahnya memiliki rumah yang sempurna; bertiang dan berbumbung serta berdinding. Sebagai ketua, beliau bersedia berkorban demi melihat kesejahteraan anak buahnya. Beliau juga membuat gaya penempatan berkelompok, tidak membiarkan setiap anak buah mendirikan rumah di tapak tanah masing-masing yang berjauhan. Alasannya - bagaimana untuk menyalurkan insfrastruktur air dan elektrik kalau mereka tinggal berjauhan? Ternyata firasat beliau adalah benar. Apabila elektrik dan air disalurkan, kedua sumber kehidupan itu mudah diakses. Hasilnya, ia sebuah kampung yang kecil dan masyarakatnya peduli antara satu sama lain dan yang lebih penting, mereka menikmati manisnya kemerdekaan:- pembangunan infrastruktur.
Terlalu banyak pengalaman seorang ketua dan orang tua yang dapat saya pelajari dari seorang tok batin. Biar hidup bersederhana, tapi anak-anak buah menghormatinya sebagai ketua.
Dalam perspektif moden, ketua atau leadership, sering dilihat sebagai satu hirarki yang mengutamakan diri si pemilik gelar. Gaji yang lebih tinggi daripada anak-anak buah, rumah yang lebih gah berbanding orang bawahan dan pelbagai alasan diberi kenapa orang bawah tidak perlu lebih dari ketua. Antaranya; salah sendiri kenapa tak belajar sampai pandai macam aku!!
Batin Nengkah menterjemahkan nilai pribadinya dalam satu hirarki masyarakat yang naif.
Rasanya, anak buah batin yang tidak semewah kehidupan di Kuala Lumpur, selesa mendengar nyanyian kecil anak-anak dan bot-bot menangkap ikan berlalu menuju ke Selat Melaka. Petang di Kg Kuala Krau hari Khamis yang lalu, satu perjalanan indahnya budi dan jiwa.