Tahun baru semalam, disambut dengan pelbagai aksi membakar bunga api, mat rempit melanun, Israel menghadiahkan bom ke Genting Gaza dan peraturan baru memakai tali pinggang keledar belakang dikuatkuasakan di jalan-jalan raya di Malaysia. Aku teringat kelakuan Israel yang menghantar bom juga ke Palestine menjelang Ramadan beberapa tahun lalu dengan tulisan di peluru berpandu "Heppy Ramadhan to you...", selepas picu pelepas bom di tarik, maka buka hari pertama Ramadan rakyat Palestine pada ketika itu musnah, tiada yang tersisa...
Semalam juga, saya sekeluarga menghantar anak sulung kami ke MRSM Alor Gajah, untuk ke Tingkatan 5 tahun ini. Hari Ahad, anak kami yang ke-dua akan dihantar ke SMAKL, di Manjalara untuk masuk ke Tingkatan 1. Sepulang di rumah, terasa sunyi apabila anak, seorang demi seorang mulai memulakan persekolahan, meninggalkan rumah ke asrama. Rasanya belum puas untuk bersama mereka, tapi kepuasan ada apabila mereka dapat menjejak ke sekolah idaman mereka dan lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang.
Sepulang dari Alor Gajah, kami singgah di kampung halaman saya di Kuala Pilah, menjenguk bapak yang telah lanjut usia. Walaupun uzur (kerana tua) tapi masih bersemangat lagi untuk berborak dengan kami.
Dalam situasi sedemikian, saya mula memahami hakikat orang tua, perlukan anak-anak dan kasih sayang. Pulang dari kampung jam 10.00 malam, drive perlahan-lahan dan jam 12.30 lebih kurang sampai di KL. Apa yang beliau ingat pada anak-anaknya, saya tak pasti, tapi setiap ada kesempatan saya akan pulang menjenguk bapak yang telah tua itu. Sekalung doa agar kau sehat dan bahagia hingga ke hujung nyawa....
No comments:
Post a Comment