Walaupun orang Melayu tidak semiskin dan sedaif sebelum merdeka, namun secara perbandingan mereka masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.Tidak banyak berbeza dengan huraian Allahyarham Datuk Onn Jaafar dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Umno di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang, 27-28 Julai, 1946, berbunyi:
“Kita orang Melayu masih ada juga menaruh sakit hati dan ada juga menaruh fikiran apakah sebabnya kita orang Melayu keciciran daripada bangsa asing. Jika kita perhalusi sedikit (dan) siasat, kita nescaya akan dapat jawapan dengan nyatanya. Lihatlah bangsa asing walau sedikit jumlahnya sekalipun pada satu-satu tempat tetapi mereka itu semua sentiasa bersatu dan berbantu-bantuan dalam segala hal.”
Kata-kata di atas (font biru dan merah) dipetik dari blog A Kadir Jasin, yang selalu saya lawati. Sekali baca, dua kali baca, dan dibaca beberapa kalipun pernyataan di atas itu, ada sesuatu yang mengganjal tentang kedudukan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial mereka: tak banyak berubah. Orang Melayu terlalu banyak halangannnya untuk maju.
Antara faktor utama ialah perasaan saling membantu dan bersatu hati belum dapat diwujudkan secara solid. Lihat saja apa-apa isu berkenaan orang Melayu. Yang besar seperti isu penggunaan bahasa Melayu dalam pembelajaran Bahasa Inggeris - orang Melayu tak sehati; dalam politik, apatah lagi, dalam agama - pun begitu juga, ada saja antara satu kelompok dengan kelompok yang lain menyatakan kelompok mereka lebih alim dan lebih betul. Dalam pendidikan anak-anak pula, ada orang Melayu yang hanya mahu menyekolahkan anak di sekolah aliran kebangsaan tanpa hiraukan pendidikan agama, ada juga yang nak sekolahkan anak hanya bertumpu kepada sekolah agama, yang menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelbagai ilmu dunia.
Itulah Melayu, bangsa saya, bangsa yang sering menjadi mangsa kepada perubahan.