Thursday, September 4, 2008

Al Fatihah Untuk Pak Samad

Semalam, Pak Samad Ismail meninggal dunia, meninggal sebagai pejuang kemerdekaan dan kebangsaan, tokoh kewartawanan, menerima anugerah Magsasay yang berprestasi, ditakuti oleh penjajah bahkan oleh kerajaan sendiri (masuk - keluar penjara oleh A Kadir Jasin seperti orang masuk keluar kedai kopi - di zaman merdeka. Dalam blog A Kadir Jasin obituary dikupas secara ringkas tapi menyentuh saya khususnya kerana apa yang ditulis oleh A Kadir Jasin berdasar fakta. Begitu juga beberapa tulisan di akhbar-akhbar NST dan lain-lain, penuh dengan kekaguman dan ketokohannya.

Saya terpegun dan amat menghormati mereka yang amat pandai menulis, menyampaikan idea dan mempengaruhi orang. Zaman remaja saya, sebahagian dihabiskan di Indonesia, saya amat tertarik dengan surat khabar dan majalah, sehingga saya tidak boleh menjadi pembaca yang serius waima untuk membaca novel kerana tanpa kolom-kolom yang singkat dan gambar, mata saya keletihan.

Justeru, saya amat menggemari Kompas dan Tempo serta Jakarta Post. Tulisan Rosihan Anwar dan Catatan Pinggir hasil tangan Goenawan Mohamad sangat saya gemari.

Saya percaya, bakat yang besar tidak akan kemana kalau tidak menajam dan melatihnya. Seumpama penenun tekstil, ada yang hanya boleh menenun tanpa memikirkan konsep, melainkan seorang seniman yang mampu menggarap motif dan rekacorak yang anggun, begitu juga seorang wartawan, tanpa analisis tidaklah indah dan bermakna tulisan itu.

Lalu, alfatihah kepada Pak Samad. Kematian itu adalah antara janji Allah kepada makhluknya.

No comments: