Tuesday, September 2, 2008

PTS

Nasib si Linggam, kucing peliharaan keluarga kami akhirnya sampailah ke penghujung, Jumaat lepas. Bahagian muka, pangkal telinga dan yang lebih teruk sejak sebulan kebelakangan ini ialah kudis-kudis dan luka tumbuh di lubang hidung. Ia sukar sekali untuk bernafas.
Petang itu, saya masukkan ia ke dalam sangkar, saya masukkan ke bahagian belakang Pajero, dan saya hantarkan ke klinik haiwan di Taman Tun. Setelah diperiksa oleh si Doktor, maka beginilah kira-kira nasihatnya:-
"Linggam adalah kucing yang baik, tapi akibat daripada pergaduhan dan kontak-nya dengan kucing-kucing yang lain, maka ia tidak sihat samasekali. Kudis dan luka di bahagian muka ini akibat sejenis parasit yang boleh merebak bahkan kepada kepada manusia (nama parasit bermula dengan t.....) Saya cadangkan 3 kaedah kepada tuan untuk tuan pertimbangkan, satu saya bagi rawatan dengan pil pencegahan atau antibiotik yang secara beransur-ansur membunuh kuman atau parasit, ia perlu di rawat oleh tuan sendiri selama kira-kira 6 bulan - setahun dan perlu diasingkan daripada peliharaan yang lain serta ubat-ubatan yang dibekalkan perlu dilaksanakan dua kali sehari, sekurang-kurangnya..."
"Kedua, saya akan buat rawatan dan untuk mempercepatkan penyembuhan, saya akan laksanakan operasi di bahagian muka tersebut. Cuma kos rawatannnya sangat tinggi"
"Ketiga, kita sediakan ubat tidur dan penenang, kemudian saya akan laksanakan PTS..." Saya tergamam, "Apakah PTS?"
"Ya, PTS means put to sleep, ia tidak menyakitkan kerana apabila saya jab ubat tidur, ia akan tidur dan pada masa tidur itu, saya jab sekali lagi terus ke jantung, ubat memberhentikan jantungnya...."
Saya dan isteri tidak dapat berkata apa-apa, untuk memberikan perhatian yang 100% kepadanya, kami tidak mampu, di rumah masih ada lagi 3 ekor kucing yang memerlukan penjagaan yang selayaknya. Kamipun tidaklah mampu untuk menyara kesegalaan tentang kucing ini. Masa dan kewangan kami terhad.
Lalu dengan segala berat hati dan kasih sayang kami, saya usap badannya yang panas, bulu hitamnya yang licin dan lebat, dan saya tinggalkan ia dengan sang Doktor.
Sepuluh minit kemudian, Linggam sudah terkulai. Di dalam sangkar.
Setelah saya selesaikan kos konsultasi dan PTS itu, saya bawanya pulang, saya mandi dan "kafankan" serta tak lupa saya renjiskan minyak atar yang saya beli dari Mesir. Saya semadikan ia di belakang rumah, tanda kasih sayang kami, tanda luhur budi kami membelanya selama ini. Selamat tinggal Linggam, moga kau bahagia di sana.

No comments: