Wednesday, September 3, 2008

Sambutan Kemerdekaan, Pilihanraya dan Inflasi

Apapun yang diperkatakan orang tentang hambarnya sambutan kemerdekaan ke-51 negara kita tahun ini, saya fikir dikaitkan secara langsung dengan mood dan situasi ekonomi yang secara kolektif dikatakan suram. Ditambah dengan penumpuan kepada pilihanraya di Permatang Pauh.


Saya tidak berbicara dengan membuat andaian yang mengada-ada, namun akar masalah itu pastilah bermula daripada mood rakyat umumnya. Bagi saya, pelbagai cabaran sedang menanti kita di hari yang mendatang ini. Kenaikan harga barangan dan minyak memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat. Dalam diam, setiap kali menolak troli dari pasaraya, pasti kita akan membelek dua tiga kali bill, rasanya berbelanja seperti dulu, tapi kenapa kosnya melambung?? Itu persoalannya.

Akhbar-akhbar maupun media elektronik dan internet, disibukkan dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Pelbagai andaian, caci maki dan fitnah dilemparkan. Sejumlah laporan polis, kenyataan akhbar dan muncul pula tradisi kalau mau dikatakan demikian, iaitu aksi bersumpah. Ia amat menakutkan bagi orang yang beriman, namun disela-sela itu, umat Islam mulai melemah dan dipersendakan, sebab sudah ada kedengaran, kenapa si polan dan si polan tak jadi beruk, tak jadi Tenggang, tak rentungpun.... dek kerana sumpahnya. Wallahu alam, memang hal-hal sebegini adalah alam ghaib yang kalau dikehendaki Allah, maka terserlah mana satu yang buruk dan tidak, tapi dengan bersumpah bukanlah jalan keluar, saya fikir mahkamah adalah jalan menentukan keadilan, sumpah membersih diri antara hamba dan Tuhannya.
Demikianlah seronoknya kita ingin mengambil tahu hal orang lain, terutama yang negatif, maka kita juga terbawa-bawa berprasangka negatif terhadap negara kita, walhal negara ini dibebaskan dengan darah dan pengorbanan nyawa, bukan hadiah dari Orang Putih dulu.
Justeru itu, tahun depan dan tahun-tahun mendatang, mari kita sama-sama fikirkan untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan kita. Ia perlu dari sanubari yang insaf.

No comments: