Thursday, March 26, 2009

Di Titik Mana Kita Berada....

Walaupun orang Melayu tidak semiskin dan sedaif sebelum merdeka, namun secara perbandingan mereka masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.Tidak banyak berbeza dengan huraian Allahyarham Datuk Onn Jaafar dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Umno di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang, 27-28 Julai, 1946, berbunyi:
“Kita orang Melayu masih ada juga menaruh sakit hati dan ada juga menaruh fikiran apakah sebabnya kita orang Melayu keciciran daripada bangsa asing. Jika kita perhalusi sedikit (dan) siasat, kita nescaya akan dapat jawapan dengan nyatanya. Lihatlah bangsa asing walau sedikit jumlahnya sekalipun pada satu-satu tempat tetapi mereka itu semua sentiasa bersatu dan berbantu-bantuan dalam segala hal.”
Kata-kata di atas (font biru dan merah) dipetik dari blog A Kadir Jasin, yang selalu saya lawati. Sekali baca, dua kali baca, dan dibaca beberapa kalipun pernyataan di atas itu, ada sesuatu yang mengganjal tentang kedudukan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial mereka: tak banyak berubah. Orang Melayu terlalu banyak halangannnya untuk maju.
Antara faktor utama ialah perasaan saling membantu dan bersatu hati belum dapat diwujudkan secara solid. Lihat saja apa-apa isu berkenaan orang Melayu. Yang besar seperti isu penggunaan bahasa Melayu dalam pembelajaran Bahasa Inggeris - orang Melayu tak sehati; dalam politik, apatah lagi, dalam agama - pun begitu juga, ada saja antara satu kelompok dengan kelompok yang lain menyatakan kelompok mereka lebih alim dan lebih betul. Dalam pendidikan anak-anak pula, ada orang Melayu yang hanya mahu menyekolahkan anak di sekolah aliran kebangsaan tanpa hiraukan pendidikan agama, ada juga yang nak sekolahkan anak hanya bertumpu kepada sekolah agama, yang menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelbagai ilmu dunia.
Itulah Melayu, bangsa saya, bangsa yang sering menjadi mangsa kepada perubahan.

Wednesday, March 11, 2009

Zubir Ali Dalam Kenangan

Saya tidak bermaksud hanya mengingat orang-orang terkenal yang meninggal dunia, untuk dituliskan di sini. Namun, mumpung ramai yang kenal almarhum Hj Zubir Ali, seorang karyawan muzik tanah air, dan saya dapat berurusan beberapa kali dengan beliau, maka saya tuliskan kenang-kenangan saya dengan beliau.

Tahun 1996 adalah tahun saya "joint the big wagon" Universiti Malaya. Pada Februari atau minggu pertama Mac, seperti sekarang ini, saya telah dipanggil interview di Universiti Malaya. Ada 12 calon yang tersenarai termasuk saya. Jawatan yang ditawarkan ialah kurator. Saya mendapat giliran ke 5 dalam giliran temuduga tersebut. Antara yang hadir sebagai penemuduga ialah Timbalan Pendaftar, Pengarah Bahagian Komunikasi dan bekas Pengarah Muzium Seni Asia iaitu mendiang Dr Khoo Joo Ee.

Soalan-soalan yang dikemukakan adalah soalan yang berkaitan dengan bidang permuziuman. Antara yang saya masih ingat, soalan dari Dr Khoo Joo Ee - dapatkah saudara membezakan antara seramik Ming dan Qing. Lalu saya ceritakan beberapa persamaan dan perbezaan ketara kedua-dua seramik berkenaan. Kesemua jawaban yang diberikan, nampaknya dipersetujui oleh Dr Khoo. Seterusnya, bagaimana saudara mendapat ilmu tersebut?. Saya katakan yang saya belajar dari pecahan pelbagai tembikar yang dijumpai di Sungai Mas, Kuala Muda Kedah, iaitu satu projek ekskavasi arkeologi dan selama saya berada di Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia di USM. Jawaban itu menarik perhatian Dr Khoo...he can differenciate the two's based from the shards, its really good!! I like this guys. Dan itu lah point saya.
Soalan seterusnya ialah dari Almarhum Haji Zubir Ali. Pada ketika itu, beliau adalah Timbalan Pengarah di Pusat Kebudayaan. Beliau mengeluarkan satu soalan cepu emas, soalan ini kalau boleh saya katakan - hanya mereka yang menceburi bidang geologi, arkeologi dan sosio-antrologi sahaja yang mungkin mengetahuinya. Selain dari bidang itu, mungkin tidak menyentuh kerana ia soalan yang terlalu spesifik terutama dalam disiplin arkeologi. Soalannnya ialah - apakah perbezaan Pentas Sunda dan Pentas Sahul. Hah...
Saya jawab yang Pentas Sunda dan Pentas Sahul ialah satu garis yang diasaskan oleh seorang penyelidik geologi dan pengikut Darwin di pertengahan Laut China Selatan, Garis Huxly-berdasarkan bukti-bukti flora dan fauna yang membahagikan dua "kontinen". Ia dikenali juga sebagai lempengan....bla...bla..bla. Bukti terulung yang boleh membahagikan Sunda dan Sahul itu ialah kewujudan harimau di Sumatra yang dikenali sebagai Tigris Sumatransis, manakala tiada harimau di Pulau Borneo.
Itulah beberapa jawaban saya kepada soalan terakhir tersebut. Almarhum nampak terangguk-angguk, setuju gamaknya.
Menjelang perlantikan saya, pihak Pusat Kebudayaan Universiti Malaya menjemput saya datang untuk mengisi beberapa borang pentadbiran. Saya bertemu sekali lagi dengan beliau.
"Tahniah..." katanya, "kau tau yang soalan itu aku kemukakan kepada semua calon, hanya kau seorang yang dapat jawab soalan tu...."
"Oo terima kasihlah" jawab saya dalam keadaan gembira.
Selepas itu, saya kerap bertemu beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran dan kesenian. Ada kalanya, beliau nampak begitu lemah, khabarnya beliau sakit dalaman yang tidak pula saya tahu secara pasti penyakitnya.
Selamat jalan kawan ku, semoga roh mu ditempatkan bersama orang-orang yang dirahmati Allah.

Monday, February 23, 2009

MRSM GRIK

Akhirnya, anak kedua kami, meninggalkan SMAKL, lalu berangkat ke MRSM Gerik, kira-kira 300 km dari Kuala Lumpur, dari rumahnya. Hari Ahad lepas, kami ke Gerik, menjenguknya. Terpaksa bermalam di Rumah Rehat Lenggong kerana keletihan untuk perjalanan sehari suntuk pergi dan balik KL-Grik-KL.

Perjalanan ke Grik adalah merupakan perjalanan nostalgia juga kerana saya pernah bertugas bersama rakan-rakan penyelidik arkeologi dari USM satu ketika dahulu. Saya pernah berada di bukit berhampiran Sungai Air Jada, tidak jauh dari pekan Lawin atau klinik kesihatan Lawin. Pernah juga kami bermalam di rumah staf di klinik berkenaan, yang selebihnya menyewa rumah penduduk kampung yang berhampiran.

Jalan dari KL ke Kuala Kangsar - adalah lebuh raya yang bagus, memasuki jalan baru Kuala Kangsar - Grik, adalah jalan "semi lebuh raya" kerana jalannya luas dan sangat baik penyelenggaraannya. Perbezaannya dengan Lebuhraya Plus hanyalah pada simpang untuk melintasi kampung. Kalau tak silap saya antara simpang Kuala Kangsar - Grik terdapat 3 lampu trafik. Yang lain, adalah baik, apatah lagi adanya gerai di sekitar Tasik Raban yang menyediakan ikan bakar dan ikan pekasam. Memang berbaloi. Semasa saya singgah makan di Dataran Ikan Bakar Tasik Raban, sejumlah bas yang berpenumpang orang loghat Pantai Timur menjamu selera ikan patin dan tempoyak. Tidak ada duanya!!

Khabarnya, MRSM Grik tahun lepas antara sekolah Mara yang terbaik dalam ranking - ke-2 selepas MRSM Kubang Krian (?) iaitu pencapaian pelajar PMR semua A adalah 153 orang daripada 195 orang (kalau tak silap angkanya). Jadi untuk mendapatkan keyakinan orang ramai, angka-angka ini penting kerana syarat kemasukan yang ketat memerlukan komitment tinggi daripada pentadbir dan guru memastikan P+P dilaksanakan sebaik mungkin.

Harap-harap, komitment guru dalam memberikan pelajaran kepada anak-anak kami masih tinggi dan diharapkan juga anak-anak kami sentiasa saja memberikan perhatian kepada pelajaran mereka.

Thursday, January 1, 2009

Tahun Baru 2009

Tahun baru semalam, disambut dengan pelbagai aksi membakar bunga api, mat rempit melanun, Israel menghadiahkan bom ke Genting Gaza dan peraturan baru memakai tali pinggang keledar belakang dikuatkuasakan di jalan-jalan raya di Malaysia. Aku teringat kelakuan Israel yang menghantar bom juga ke Palestine menjelang Ramadan beberapa tahun lalu dengan tulisan di peluru berpandu "Heppy Ramadhan to you...", selepas picu pelepas bom di tarik, maka buka hari pertama Ramadan rakyat Palestine pada ketika itu musnah, tiada yang tersisa...

Semalam juga, saya sekeluarga menghantar anak sulung kami ke MRSM Alor Gajah, untuk ke Tingkatan 5 tahun ini. Hari Ahad, anak kami yang ke-dua akan dihantar ke SMAKL, di Manjalara untuk masuk ke Tingkatan 1. Sepulang di rumah, terasa sunyi apabila anak, seorang demi seorang mulai memulakan persekolahan, meninggalkan rumah ke asrama. Rasanya belum puas untuk bersama mereka, tapi kepuasan ada apabila mereka dapat menjejak ke sekolah idaman mereka dan lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang.

Sepulang dari Alor Gajah, kami singgah di kampung halaman saya di Kuala Pilah, menjenguk bapak yang telah lanjut usia. Walaupun uzur (kerana tua) tapi masih bersemangat lagi untuk berborak dengan kami.

Dalam situasi sedemikian, saya mula memahami hakikat orang tua, perlukan anak-anak dan kasih sayang. Pulang dari kampung jam 10.00 malam, drive perlahan-lahan dan jam 12.30 lebih kurang sampai di KL. Apa yang beliau ingat pada anak-anaknya, saya tak pasti, tapi setiap ada kesempatan saya akan pulang menjenguk bapak yang telah tua itu. Sekalung doa agar kau sehat dan bahagia hingga ke hujung nyawa....

Tuesday, October 28, 2008

Dalam diam-diam, saya amat meminati motosikal jenis skuter- bukan yang kecil, yang sederhana besar - Elegan keluaran Motor Modenas Malaysia. Hargapun tak begitu mahal, sekitar RM6500.00, tapi simpan dulu cita-cita tu. Ia sangat berguna untuk perjalanan sederhana jauh, katakan dari KL - Alor Gajah, boleh kurangkan kos petrol, kos tol.

Cumanya, kalau melihat pada kempen Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia, kapcai dan segala motor berkapasiti di bawah 150cc perlu kelajuan sekitar 60km / jam. Huawaaa....memamng nampak selamat, tapi adakalanya motor boleh saja disondol dari belakang.

Nampaknya, design kenderaan seperti ini mulai cantik dan tak malu untuk bersaing diperingkat antarabangsa. Macam tulah.....

Namun, dalam menilai para penunggang motosikal hari ini, aksi mereka amat menakutkan. Dalam keadaan kerana laju mencecah 120-140km/jam, ada mat-mat motor yang berani mencelah dan membuat potong sayur di depan kereta yang bak peluru berkenaan. Aaah aku mengurut dada, jangan terjadi apa-apa di depan mataku.
Mutu dan layanan pun perlu dipertingkatkan supaya tidak terlalu dibiarkan para pengguna.

Thursday, September 4, 2008

Al Fatihah Untuk Pak Samad

Semalam, Pak Samad Ismail meninggal dunia, meninggal sebagai pejuang kemerdekaan dan kebangsaan, tokoh kewartawanan, menerima anugerah Magsasay yang berprestasi, ditakuti oleh penjajah bahkan oleh kerajaan sendiri (masuk - keluar penjara oleh A Kadir Jasin seperti orang masuk keluar kedai kopi - di zaman merdeka. Dalam blog A Kadir Jasin obituary dikupas secara ringkas tapi menyentuh saya khususnya kerana apa yang ditulis oleh A Kadir Jasin berdasar fakta. Begitu juga beberapa tulisan di akhbar-akhbar NST dan lain-lain, penuh dengan kekaguman dan ketokohannya.

Saya terpegun dan amat menghormati mereka yang amat pandai menulis, menyampaikan idea dan mempengaruhi orang. Zaman remaja saya, sebahagian dihabiskan di Indonesia, saya amat tertarik dengan surat khabar dan majalah, sehingga saya tidak boleh menjadi pembaca yang serius waima untuk membaca novel kerana tanpa kolom-kolom yang singkat dan gambar, mata saya keletihan.

Justeru, saya amat menggemari Kompas dan Tempo serta Jakarta Post. Tulisan Rosihan Anwar dan Catatan Pinggir hasil tangan Goenawan Mohamad sangat saya gemari.

Saya percaya, bakat yang besar tidak akan kemana kalau tidak menajam dan melatihnya. Seumpama penenun tekstil, ada yang hanya boleh menenun tanpa memikirkan konsep, melainkan seorang seniman yang mampu menggarap motif dan rekacorak yang anggun, begitu juga seorang wartawan, tanpa analisis tidaklah indah dan bermakna tulisan itu.

Lalu, alfatihah kepada Pak Samad. Kematian itu adalah antara janji Allah kepada makhluknya.

Wednesday, September 3, 2008

Sambutan Kemerdekaan, Pilihanraya dan Inflasi

Apapun yang diperkatakan orang tentang hambarnya sambutan kemerdekaan ke-51 negara kita tahun ini, saya fikir dikaitkan secara langsung dengan mood dan situasi ekonomi yang secara kolektif dikatakan suram. Ditambah dengan penumpuan kepada pilihanraya di Permatang Pauh.


Saya tidak berbicara dengan membuat andaian yang mengada-ada, namun akar masalah itu pastilah bermula daripada mood rakyat umumnya. Bagi saya, pelbagai cabaran sedang menanti kita di hari yang mendatang ini. Kenaikan harga barangan dan minyak memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat. Dalam diam, setiap kali menolak troli dari pasaraya, pasti kita akan membelek dua tiga kali bill, rasanya berbelanja seperti dulu, tapi kenapa kosnya melambung?? Itu persoalannya.

Akhbar-akhbar maupun media elektronik dan internet, disibukkan dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Pelbagai andaian, caci maki dan fitnah dilemparkan. Sejumlah laporan polis, kenyataan akhbar dan muncul pula tradisi kalau mau dikatakan demikian, iaitu aksi bersumpah. Ia amat menakutkan bagi orang yang beriman, namun disela-sela itu, umat Islam mulai melemah dan dipersendakan, sebab sudah ada kedengaran, kenapa si polan dan si polan tak jadi beruk, tak jadi Tenggang, tak rentungpun.... dek kerana sumpahnya. Wallahu alam, memang hal-hal sebegini adalah alam ghaib yang kalau dikehendaki Allah, maka terserlah mana satu yang buruk dan tidak, tapi dengan bersumpah bukanlah jalan keluar, saya fikir mahkamah adalah jalan menentukan keadilan, sumpah membersih diri antara hamba dan Tuhannya.
Demikianlah seronoknya kita ingin mengambil tahu hal orang lain, terutama yang negatif, maka kita juga terbawa-bawa berprasangka negatif terhadap negara kita, walhal negara ini dibebaskan dengan darah dan pengorbanan nyawa, bukan hadiah dari Orang Putih dulu.
Justeru itu, tahun depan dan tahun-tahun mendatang, mari kita sama-sama fikirkan untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan kita. Ia perlu dari sanubari yang insaf.