Monday, March 31, 2008

Seekor Kambing dan Perempuan Tua

Sepertinya tidak ada kena mengena antara seekor kambing dan perempuan tua. Begitu juga beberapa ekor kucing dengan manusia atau seorang lelaki tua sekalipun. Ia bukan satu perbidalan, bukan sebuah anekdot yang serius tapi satu fenomena yang terjadi dalam masyarakat. Ia juga bukan satu usaha untuk menyamakan antara seorang wanita tua yang mempunyai martabat dan ketinggian maruah dengan mana-mana haiwanpun tetapi hanya sebagai memahami realiti kesunyian dan satu upaya mempercayai haiwan sebagai teman.

Beberapa tahun yang lalu, saya dan kumpulan penyelidik bertugas di kawasan Kg Air Jada, sebuah kampung yang terletak antara Lenggong dan Gerik di Perak. Kumpulan kami terpaksa menginap di sebuah rumah yang lumayan besar, kepunyaan seorang perempuan tua, tinggal bersama dengan seorang cucunya dan "seorang jejaka" yang bernama Wahab. Memandangkan Wahab sajalah lelaki di rumah itu, maka kemana pergipun, Wahablah rakan dan teman berbual perempuan yang berstatus janda ini. Ke kebun getah, ke kedai, mungkin ke bilik air saja tidak bersama.

Beberapa hari kami menginap di serambi rumah perempuan ini, setiap hari perempuan ini mengejutkan alias membangunkan si Wahab untuk sama-sama ke kebun menoreh getah. Saban malam, si Wahab yang bisu ini ada di dapur, kalau perempuan ini makan, maka makan jugalah si Wahab. Tatkala hari terakhir kami di rumah itu, Wahab tidak kemana-mana. Si perempuan juga tidak ke mana-mana kerana langit mendung dan hujan mulai merintik. Kami juga akan berpamitan untuk meninggalkan rumah itu kerana telahpun menyelesaikan siri penyelidikan kami. Dan adat orang menumpang, ole-ole untuk si Mak Cik dan si Wahab yang tidak bangun-bangun diperbaringannya kerana terlalu sejuk, telah kami sediakan. Si perempuan tua kami berikan sedikit makanan dan kepada Wahab, roti dan biskut kering kami hadiahkan.
"Wahab, bangunlah, orang semua dah nak balik, kau saja yang tak bangun lagi". kata si perempuan tua.
Wahab bangun dan menghentak-hentak kaki, mencium makanan yang kami berikan, lalu makan sambil memerhatikan makanan yang masih tersisa di dalam plastik. Wahab, hanya seekor kambing jantan yang amat setia. Kemana jua siperempuan tua pergi, disitulah Wahab ada, walaupun dalam keadaan bau yang menyengat. Anak-anak yang mencari pencarian sendiri terpaksa meninggalkan ibu tua, dengan seorang cucu yang masih kecil. Lalu, Wahab yang tidak tau apa-apa mungkin lebih memahami hati seorang perempuan tua.

II
Di rumah saya, seekor kucing hitam, kami namakan dia Legam, tapi sejak duamenjak ini, tatkala kes seorang Dato mencuar, si Legam bertukar nama kepada Ling-gam. "Dia" antara puluhan kucing yang survive, memiliki barangkali belasan isteri dan puluhan anak. Tapi tidak banyak anaknya yang hidup. Ling-gam, produk mesra pelanggan, setia di rumah dan sesuai dengan martabatnya sebagai seekor binatang peliharaan, adakalanya ia memahami bahasa manusia yang saya faham dan bahasa kucing-yang tidak difahami oleh manusia.

Seekor kambing dan perempuan tua dan seekor kucing- ikatan bentuk figuratif alam haiwan dan manusia.

Tuesday, March 25, 2008

Antara Kucing dan Anjing

Sewaktu saya terlibat menguruskan Persidangan Occidental & Oriental tahun 2006 yang lalu, saya menerima sebuah buku kumpulan puisi oleh Dato' Prof Hashim Yaacub, Naib Canselor UM ketika itu. Buku antologi itu bertajuk Aku Ingin ke Seberang (Kalau aku tidak salah ingat). Tadi malam saya mencuba mencari buku itu, tapi entah di mana saya letakkan. Apapun, saya masih teringat-ingat puisi beliau tentang perangai seekor anjing dan kucing. Anjing, binatang setia, ada kalanya tuannya mati, ia turut menunggu tuannya sampai ia sendiri mati. Kucing, siapa yang bagi makan, itulah tuannya.
Saya teringat perilaku pasca pilihanraya di Perak, akhbar hari minggu lalu melaporkan tentang tindakan persatuan ketua-ketua kampung di Perak yang tidak akan mengikuti apa-apa arahan daripada kerajaan yang memerintah sekarang. Alasannya mereka dilantik oleh kerajaan yang lalu sehingga 31 Disember 2008 yang akan datang.
Tingkah ini perlu dikaca dari beberapa perspektif agar ia tidak merugikan anggota masyarakat. Kalaupun ingin taat seperti sifat bawaan seekor anjing, saya fikir tindakan itu tidak kena kerana jawatan yang dipegang akan memusnahkan masyarakat sendiri. Kalau memang tidak sebulu lagi dengan atasan, letak saja jawatan, beri kepada orang lain yang boleh bekerjasama. Integriti bukan begitu maksudnya.
Atau, bersikap seperti perangai kucing- siapa yang memberi makan, itulah tuannya. Pragmatisme!! Ada pelbagai pepatah Melayu yang menyebut tentang ketua dan ketaatan ini. Bahkan, ketaatan ada batas yang jelas: raja adil raja dijulang, raja zalim raja disanggah.
Lalu, perumpamaan seekor anjing dan seekor kucing tidak boleh sebagai penanda aras integriti itu.

Wednesday, March 19, 2008

Kuasa Manusia

Aftershocks - itu tajuk utama akhbar The Star hari ini. Akhbar lain juga memperlihatkan tajuk yang hampir sama tentang beberapa menteri kanan harus mengosongkan kantor semalam. Apa yang menakjubkan, setelah beberapa menteri kanan kantoi dalam PRU 12 yang lalu, lalu membawa diri masing-masing, yang menang pula menuntut kerusi. Inilah kuasa manusia, kuasa perlu diberi, berbeza dengan kuasa Tuhan, yang tidak perlu dipinta, tak perlu diberi.

II

Ada kerimasan yang amat sangat bila membaca berita tentang kematian tentera Amerika di Iraq ini. Ada laman web yang khusus untuk memberi tribute kepada tentera yang kiok. Saya sempat melabuh di web berkenaan dan membaca bagaimana hilangnya ibu kepada anak bujangnya yang mati di tengah-tengah Baghdad, isteri yang masih menganggap suaminya akan pulang sedikit masa lagi, padahal nisan suaminya telah terpacak di tanah perkuburan pahlawan. Dan berbagai-bagai lagi.

Lalu, saya tidak dapat membayangkan ratusan ribu rakyat Iraq mati di tangan tentera dan sekutu Amerika. Bahkan dirogol, dipenjara dan seksa dengan teramat sangat. Mereka bukan pahlawan kepada rakyat Amerika, tapi pahlawan kepada keluarga dan negara mereka.

Apakah Amerika melihat rakyat Iraq bukan manusia? Tiada perasaan. Makhluk yang bukan manusia, sama macam sebutir kelapa, boleh dikupas, rebus, perah, buang dan di "makan". Kalau diaturkan jumlah an k kehilangan ibu, bapa, suami hilang isteri dan sebaliknya, memori laman web pun barangkali sendat. Namun inilah perspektif.

Kuasa dan manusia, bila diberi, mereka melampau dan sering melihat orang lain remeh....
Tatkala hilangnya kuasa itu, baru mereka sedar bahawa mereka sama seperti orang lain, ada perasaan dan harga diri. Bila harus kita sedar tentang kuasa umpama elektromagnet ini??

III

Kuasa manusia, manusia berkuasa...

Tuesday, March 18, 2008

Sepulang dari Lubok Weston dan Sipitang

Inilah perjalanan yang memenatkan yang pernah saya alami dalam menjalankan tugasan. Bukanlah jarak Kota Kinabalu (KK) - Beaufort - Sipitang - Lawas - Weston dan ke KK semula sesuatu yang membosankan, tetapi demam pilihan raya yang masih lagi dibicarakan oleh rakyat jelata mengatasi segalanya. Di kedai kopi, di majlis keramaian, dalam kereta sapu, dan di mana jua ada kesempatan, pastilah topik itu dicuit-cuit disentuh-sentuh. Responden-responden kami juga tidak terkecuali, mereka tidak dapat memberi 100% fokus kepada soalan yang diajukan.

Dalam beberapa kesempatan, tugasan saya amat mengecewakan kerana bias percakapan kepada pilihan raya. Ada responden beria-ia mendedahkan identiti sebenar responden yang lain semasa pilihan raya yang lalu. Itulah Sabah, katanya. Namun, demikian tinggi dan takjubnya manusia kepada kuasa dan kekuasaan, dengan kekuasaan itu juga kehancuran mendekati penyandangnya.

Tahun-tahun mendatang ini pastilah beberapa anomali dan kejutan dalam scenario politik tanah air akan berlaku secara spontan. Kehadiran figur-figur besar pastilah merepotkan kawan kita Mona dalam merakam dan mentafsir intipati perbahasan. Seperti para pemangkah di Pekan Bogawan dan nun jauh di pedalaman Lubok Weston, tidak apa yang diingini selain keselesaan hidup dalam negara yang telah lima dasawarsa menyambut laungan Tuanku Abdul Rahman.

Semasa perjalanan pulang ke KL, muka depan Utusan Malaysia menuliskan: DAP BIADAP. Ia satu liabiliti kepada pembaca koran "tersohor" itu. Itukah demokrasi yang difahami oleh para pengamal media?

Monday, March 17, 2008

Trip Sabah dan Prof PK Lam di MSA

Sabah menjanjikan scenario warisan budaya yang pelbagai. Muzik, tari dan masyarakatnya adalah anugerah warisan tak ternilai. Hari Selasa hingga Jumaat malam, saya masih berada di negeri bawah bayu.

Sabtu, sesi bengkel Prof Peter YK Lam dari Univ Chinese of Hong Kong, berceramah tentang tembikar China, yang amat aku nanti dan sukai. Hari ini beliau mengirim e-mail dari HK, menyebut tentang senang dan gembiranya beliau dapat berjumpa saya, melihat artifak dari Pulau Tioman dan tulisan tangan beliau tentang beberapa artifak dari pulau itu, saya sertakan dalam rak-rak pameran. My scrabble is there!!!
Menjelang jam 4.00 petang, majlis Chinese Tea - called phu err tea ceremony started by Mr Ong from Chinese Tea Association on the centre stage. For the first time, I drink a 6 years fermented tea. The taste...really influnced your mind. Its aroma and the style made it up at the certain standard. Eager to try...pls feel free to chinese tea shop.

Thursday, March 6, 2008

Moyang Mah Meri





Moyang Mah Meri - berupa patung ukiran kayu dan juga topeng-topeng antara yang unik yang diwarisi oleh suku Mah Meri di Pulau Carey, Selangor. Antara yang sempat dirakam ialah dua buah Moyang Harimau dan sebuah topeng yang belum siap. Foto-foto itu sekitar tahun akhir 2006.

Kini, sudah didirikan bangsal-bangsal yang lebih modern didirikan dengan bantuan kerajaan, saya tidak pasti apakah daripada JHEOA ataupun daripada KeKWa, tapi sekira-kira 12 bangsal yang menyediakan bahan-bahan ukiran kayu topeng dan patung-patung. Antara pengukir yang berwibawa termasuklah si Luji (adik kepada kak Yah, beliau bisu) tapi menghasilkan seni ukiran patung dan topeng yang luar biasa.

Satu tempat lagi yang menghasilkan seni ukiran ini ialah dari Jerantut, di kalangan masyarakat Jah Hut.