Sewaktu saya terlibat menguruskan Persidangan Occidental & Oriental tahun 2006 yang lalu, saya menerima sebuah buku kumpulan puisi oleh Dato' Prof Hashim Yaacub, Naib Canselor UM ketika itu. Buku antologi itu bertajuk Aku Ingin ke Seberang (Kalau aku tidak salah ingat). Tadi malam saya mencuba mencari buku itu, tapi entah di mana saya letakkan. Apapun, saya masih teringat-ingat puisi beliau tentang perangai seekor anjing dan kucing. Anjing, binatang setia, ada kalanya tuannya mati, ia turut menunggu tuannya sampai ia sendiri mati. Kucing, siapa yang bagi makan, itulah tuannya.
Saya teringat perilaku pasca pilihanraya di Perak, akhbar hari minggu lalu melaporkan tentang tindakan persatuan ketua-ketua kampung di Perak yang tidak akan mengikuti apa-apa arahan daripada kerajaan yang memerintah sekarang. Alasannya mereka dilantik oleh kerajaan yang lalu sehingga 31 Disember 2008 yang akan datang.
Tingkah ini perlu dikaca dari beberapa perspektif agar ia tidak merugikan anggota masyarakat. Kalaupun ingin taat seperti sifat bawaan seekor anjing, saya fikir tindakan itu tidak kena kerana jawatan yang dipegang akan memusnahkan masyarakat sendiri. Kalau memang tidak sebulu lagi dengan atasan, letak saja jawatan, beri kepada orang lain yang boleh bekerjasama. Integriti bukan begitu maksudnya.
Atau, bersikap seperti perangai kucing- siapa yang memberi makan, itulah tuannya. Pragmatisme!! Ada pelbagai pepatah Melayu yang menyebut tentang ketua dan ketaatan ini. Bahkan, ketaatan ada batas yang jelas: raja adil raja dijulang, raja zalim raja disanggah.
Lalu, perumpamaan seekor anjing dan seekor kucing tidak boleh sebagai penanda aras integriti itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment