Tuesday, October 28, 2008

Dalam diam-diam, saya amat meminati motosikal jenis skuter- bukan yang kecil, yang sederhana besar - Elegan keluaran Motor Modenas Malaysia. Hargapun tak begitu mahal, sekitar RM6500.00, tapi simpan dulu cita-cita tu. Ia sangat berguna untuk perjalanan sederhana jauh, katakan dari KL - Alor Gajah, boleh kurangkan kos petrol, kos tol.

Cumanya, kalau melihat pada kempen Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia, kapcai dan segala motor berkapasiti di bawah 150cc perlu kelajuan sekitar 60km / jam. Huawaaa....memamng nampak selamat, tapi adakalanya motor boleh saja disondol dari belakang.

Nampaknya, design kenderaan seperti ini mulai cantik dan tak malu untuk bersaing diperingkat antarabangsa. Macam tulah.....

Namun, dalam menilai para penunggang motosikal hari ini, aksi mereka amat menakutkan. Dalam keadaan kerana laju mencecah 120-140km/jam, ada mat-mat motor yang berani mencelah dan membuat potong sayur di depan kereta yang bak peluru berkenaan. Aaah aku mengurut dada, jangan terjadi apa-apa di depan mataku.
Mutu dan layanan pun perlu dipertingkatkan supaya tidak terlalu dibiarkan para pengguna.

Thursday, September 4, 2008

Al Fatihah Untuk Pak Samad

Semalam, Pak Samad Ismail meninggal dunia, meninggal sebagai pejuang kemerdekaan dan kebangsaan, tokoh kewartawanan, menerima anugerah Magsasay yang berprestasi, ditakuti oleh penjajah bahkan oleh kerajaan sendiri (masuk - keluar penjara oleh A Kadir Jasin seperti orang masuk keluar kedai kopi - di zaman merdeka. Dalam blog A Kadir Jasin obituary dikupas secara ringkas tapi menyentuh saya khususnya kerana apa yang ditulis oleh A Kadir Jasin berdasar fakta. Begitu juga beberapa tulisan di akhbar-akhbar NST dan lain-lain, penuh dengan kekaguman dan ketokohannya.

Saya terpegun dan amat menghormati mereka yang amat pandai menulis, menyampaikan idea dan mempengaruhi orang. Zaman remaja saya, sebahagian dihabiskan di Indonesia, saya amat tertarik dengan surat khabar dan majalah, sehingga saya tidak boleh menjadi pembaca yang serius waima untuk membaca novel kerana tanpa kolom-kolom yang singkat dan gambar, mata saya keletihan.

Justeru, saya amat menggemari Kompas dan Tempo serta Jakarta Post. Tulisan Rosihan Anwar dan Catatan Pinggir hasil tangan Goenawan Mohamad sangat saya gemari.

Saya percaya, bakat yang besar tidak akan kemana kalau tidak menajam dan melatihnya. Seumpama penenun tekstil, ada yang hanya boleh menenun tanpa memikirkan konsep, melainkan seorang seniman yang mampu menggarap motif dan rekacorak yang anggun, begitu juga seorang wartawan, tanpa analisis tidaklah indah dan bermakna tulisan itu.

Lalu, alfatihah kepada Pak Samad. Kematian itu adalah antara janji Allah kepada makhluknya.

Wednesday, September 3, 2008

Sambutan Kemerdekaan, Pilihanraya dan Inflasi

Apapun yang diperkatakan orang tentang hambarnya sambutan kemerdekaan ke-51 negara kita tahun ini, saya fikir dikaitkan secara langsung dengan mood dan situasi ekonomi yang secara kolektif dikatakan suram. Ditambah dengan penumpuan kepada pilihanraya di Permatang Pauh.


Saya tidak berbicara dengan membuat andaian yang mengada-ada, namun akar masalah itu pastilah bermula daripada mood rakyat umumnya. Bagi saya, pelbagai cabaran sedang menanti kita di hari yang mendatang ini. Kenaikan harga barangan dan minyak memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat. Dalam diam, setiap kali menolak troli dari pasaraya, pasti kita akan membelek dua tiga kali bill, rasanya berbelanja seperti dulu, tapi kenapa kosnya melambung?? Itu persoalannya.

Akhbar-akhbar maupun media elektronik dan internet, disibukkan dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Pelbagai andaian, caci maki dan fitnah dilemparkan. Sejumlah laporan polis, kenyataan akhbar dan muncul pula tradisi kalau mau dikatakan demikian, iaitu aksi bersumpah. Ia amat menakutkan bagi orang yang beriman, namun disela-sela itu, umat Islam mulai melemah dan dipersendakan, sebab sudah ada kedengaran, kenapa si polan dan si polan tak jadi beruk, tak jadi Tenggang, tak rentungpun.... dek kerana sumpahnya. Wallahu alam, memang hal-hal sebegini adalah alam ghaib yang kalau dikehendaki Allah, maka terserlah mana satu yang buruk dan tidak, tapi dengan bersumpah bukanlah jalan keluar, saya fikir mahkamah adalah jalan menentukan keadilan, sumpah membersih diri antara hamba dan Tuhannya.
Demikianlah seronoknya kita ingin mengambil tahu hal orang lain, terutama yang negatif, maka kita juga terbawa-bawa berprasangka negatif terhadap negara kita, walhal negara ini dibebaskan dengan darah dan pengorbanan nyawa, bukan hadiah dari Orang Putih dulu.
Justeru itu, tahun depan dan tahun-tahun mendatang, mari kita sama-sama fikirkan untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan kita. Ia perlu dari sanubari yang insaf.

Tuesday, September 2, 2008

PTS

Nasib si Linggam, kucing peliharaan keluarga kami akhirnya sampailah ke penghujung, Jumaat lepas. Bahagian muka, pangkal telinga dan yang lebih teruk sejak sebulan kebelakangan ini ialah kudis-kudis dan luka tumbuh di lubang hidung. Ia sukar sekali untuk bernafas.
Petang itu, saya masukkan ia ke dalam sangkar, saya masukkan ke bahagian belakang Pajero, dan saya hantarkan ke klinik haiwan di Taman Tun. Setelah diperiksa oleh si Doktor, maka beginilah kira-kira nasihatnya:-
"Linggam adalah kucing yang baik, tapi akibat daripada pergaduhan dan kontak-nya dengan kucing-kucing yang lain, maka ia tidak sihat samasekali. Kudis dan luka di bahagian muka ini akibat sejenis parasit yang boleh merebak bahkan kepada kepada manusia (nama parasit bermula dengan t.....) Saya cadangkan 3 kaedah kepada tuan untuk tuan pertimbangkan, satu saya bagi rawatan dengan pil pencegahan atau antibiotik yang secara beransur-ansur membunuh kuman atau parasit, ia perlu di rawat oleh tuan sendiri selama kira-kira 6 bulan - setahun dan perlu diasingkan daripada peliharaan yang lain serta ubat-ubatan yang dibekalkan perlu dilaksanakan dua kali sehari, sekurang-kurangnya..."
"Kedua, saya akan buat rawatan dan untuk mempercepatkan penyembuhan, saya akan laksanakan operasi di bahagian muka tersebut. Cuma kos rawatannnya sangat tinggi"
"Ketiga, kita sediakan ubat tidur dan penenang, kemudian saya akan laksanakan PTS..." Saya tergamam, "Apakah PTS?"
"Ya, PTS means put to sleep, ia tidak menyakitkan kerana apabila saya jab ubat tidur, ia akan tidur dan pada masa tidur itu, saya jab sekali lagi terus ke jantung, ubat memberhentikan jantungnya...."
Saya dan isteri tidak dapat berkata apa-apa, untuk memberikan perhatian yang 100% kepadanya, kami tidak mampu, di rumah masih ada lagi 3 ekor kucing yang memerlukan penjagaan yang selayaknya. Kamipun tidaklah mampu untuk menyara kesegalaan tentang kucing ini. Masa dan kewangan kami terhad.
Lalu dengan segala berat hati dan kasih sayang kami, saya usap badannya yang panas, bulu hitamnya yang licin dan lebat, dan saya tinggalkan ia dengan sang Doktor.
Sepuluh minit kemudian, Linggam sudah terkulai. Di dalam sangkar.
Setelah saya selesaikan kos konsultasi dan PTS itu, saya bawanya pulang, saya mandi dan "kafankan" serta tak lupa saya renjiskan minyak atar yang saya beli dari Mesir. Saya semadikan ia di belakang rumah, tanda kasih sayang kami, tanda luhur budi kami membelanya selama ini. Selamat tinggal Linggam, moga kau bahagia di sana.

Friday, May 9, 2008

Ibu Tua dan Tukang Sihir

Nurul Wahida Hamzah sudahpun pulang dari sebuah desa terpencil di Lombok, Indonesia ke pangkuan keluarganya di Klang. Pada usia 17 tahun, dia meninggalkan kampung halaman dan ibu yang renta semata-mata mengikut kekasih gelap yang akhirnya menjadi suami sehingga kini. Tiga tahun hidup bagai di gigi neraka, gaji hanya RM5 sebulan (yang boleh diperolehi di negara sendiri hanya satu atau 2 jam bekerja), tapi kerana sudah gelap hati dan tekat, maka segalanya manis. Sampailah ketikanya, segala wangi cinta tidak boleh hanya dengan kata-kata, tidak boleh dengan janji di kamar tidur saja, maka segalanya sampai ke batas tak ter-toleransi lagi. Hanya sekali dapat menalifon ibu, sebuah badan NGO - Kijang Care bergerak mencari si pari-pari yang dilarikan oleh sang Genderowo. Maka bertemulah si pari-pari yang sudah menjadi puteri siluman. Si puteri, begitu nama timangan di desa tempat ia berasing dari keluarga, di bawa balik dengan disaksikan satu negara, penuh sensasi.

I
Apa yang diharapkan oleh si ibu renta, apabila anak menjejak kaki ke tanah sendiri, kalau boleh maulah dia mencium ibu, dihidangkan makanan kegemaran anak semata wayang agar ia tetap dengan kenangan silamnya, dibukakan kotak-kotak tempat sang ibu menyimpan pakaian si anak namun segalanya sirna. Kakak yang menyambut di LCCT, jatuh pitam tergolak bagai di serang angin ahmar, perut kembung bagai sedang mengandung 8 bulan, membukit dan terlentang di tengah serambi disaksikan para pelayat yang bersimpati. Si pari-pari benar-benar berubah bagai si Tenggang, engkar dengan ibu sendiri.
Lalu, pelbagai analisis mulai dijalankan. Doktor mengatakan emosinya terlalu dipermainkan oleh sang Genderuwo, berpura baik, tapi menyeksa. Hah ??? Emosi boleh baik kah kalau fizikal disiksa?
II
Kalau dah tak dapat menanggung diri sendiri kenapa nak mencari beban, menanggung anak dara orang. Ada anakpun mati kerana kesihatan yang tak dapat disediakan.
III
Lalu fenomena ganjil ini sering dikaitkan dengan amalan sihir, amalan ilmu hitam. Beberapa orang yang pernah dikaitkan dengan terkena sihir ini diperhatikan memiliki karakter yang lebih daripada orang lain. Seorang wanita yang elok paras rupa, meninggalkan saudara mara hanya kerana tergilakan seorang jantan yang tak bekerja. Dia dikatakan disihir oleh dukun dari siam. Seorang isteri kehilangan suami kerana terkena sihir sang pari-pari sundal, tinggal anak bini. Di pedalaman hutan Malaysia, ada orang sanggup mencari seorang dukun Orang Asli semata-mata nak lulus PTK, walhal sang dukun Asli ni, membacapun tak reti. Malanglah bila kita terkena musibah sihir ini.

IV
Namun Nurul satu sosok anak malang yang mengada-ngada. Mendapat seekor jantan yang tidak berguna. Para remaja Malaysia, perlu beringat dengan para pendatang yang tidak menyedarkan diri ini. Mereka datang merempat dari kolong-kolong busuk di kawasan kumuh di negara asal mereka datang ke negara ini mencari sesuap nasi, kemudian mana-mana yang sukses naik tocang, dan berkelakuan hampas. Dalam masa yang sama mengintai-intai mencari peluang memuaskan perlakuan busuk dan bodoh mereka di luar batas imajinasi manusia normal. Tidak ada yang hendak dikatakan kalau mendapat anak seperti ini, ibu mana yang tak sayangkan anak, namun ditelan mati emak, dibuang mati bapa.

V
Nurul yang tidak boleh berfikir dan bakal-bakal Nurul yang menggilai jantan yang tak ketahuan asal usulnya, jangan jadikan diri anda mangsa akibat tindakan bodoh atau atas nama cinta yang sangat bodoh juga.

Monday, March 31, 2008

Seekor Kambing dan Perempuan Tua

Sepertinya tidak ada kena mengena antara seekor kambing dan perempuan tua. Begitu juga beberapa ekor kucing dengan manusia atau seorang lelaki tua sekalipun. Ia bukan satu perbidalan, bukan sebuah anekdot yang serius tapi satu fenomena yang terjadi dalam masyarakat. Ia juga bukan satu usaha untuk menyamakan antara seorang wanita tua yang mempunyai martabat dan ketinggian maruah dengan mana-mana haiwanpun tetapi hanya sebagai memahami realiti kesunyian dan satu upaya mempercayai haiwan sebagai teman.

Beberapa tahun yang lalu, saya dan kumpulan penyelidik bertugas di kawasan Kg Air Jada, sebuah kampung yang terletak antara Lenggong dan Gerik di Perak. Kumpulan kami terpaksa menginap di sebuah rumah yang lumayan besar, kepunyaan seorang perempuan tua, tinggal bersama dengan seorang cucunya dan "seorang jejaka" yang bernama Wahab. Memandangkan Wahab sajalah lelaki di rumah itu, maka kemana pergipun, Wahablah rakan dan teman berbual perempuan yang berstatus janda ini. Ke kebun getah, ke kedai, mungkin ke bilik air saja tidak bersama.

Beberapa hari kami menginap di serambi rumah perempuan ini, setiap hari perempuan ini mengejutkan alias membangunkan si Wahab untuk sama-sama ke kebun menoreh getah. Saban malam, si Wahab yang bisu ini ada di dapur, kalau perempuan ini makan, maka makan jugalah si Wahab. Tatkala hari terakhir kami di rumah itu, Wahab tidak kemana-mana. Si perempuan juga tidak ke mana-mana kerana langit mendung dan hujan mulai merintik. Kami juga akan berpamitan untuk meninggalkan rumah itu kerana telahpun menyelesaikan siri penyelidikan kami. Dan adat orang menumpang, ole-ole untuk si Mak Cik dan si Wahab yang tidak bangun-bangun diperbaringannya kerana terlalu sejuk, telah kami sediakan. Si perempuan tua kami berikan sedikit makanan dan kepada Wahab, roti dan biskut kering kami hadiahkan.
"Wahab, bangunlah, orang semua dah nak balik, kau saja yang tak bangun lagi". kata si perempuan tua.
Wahab bangun dan menghentak-hentak kaki, mencium makanan yang kami berikan, lalu makan sambil memerhatikan makanan yang masih tersisa di dalam plastik. Wahab, hanya seekor kambing jantan yang amat setia. Kemana jua siperempuan tua pergi, disitulah Wahab ada, walaupun dalam keadaan bau yang menyengat. Anak-anak yang mencari pencarian sendiri terpaksa meninggalkan ibu tua, dengan seorang cucu yang masih kecil. Lalu, Wahab yang tidak tau apa-apa mungkin lebih memahami hati seorang perempuan tua.

II
Di rumah saya, seekor kucing hitam, kami namakan dia Legam, tapi sejak duamenjak ini, tatkala kes seorang Dato mencuar, si Legam bertukar nama kepada Ling-gam. "Dia" antara puluhan kucing yang survive, memiliki barangkali belasan isteri dan puluhan anak. Tapi tidak banyak anaknya yang hidup. Ling-gam, produk mesra pelanggan, setia di rumah dan sesuai dengan martabatnya sebagai seekor binatang peliharaan, adakalanya ia memahami bahasa manusia yang saya faham dan bahasa kucing-yang tidak difahami oleh manusia.

Seekor kambing dan perempuan tua dan seekor kucing- ikatan bentuk figuratif alam haiwan dan manusia.

Tuesday, March 25, 2008

Antara Kucing dan Anjing

Sewaktu saya terlibat menguruskan Persidangan Occidental & Oriental tahun 2006 yang lalu, saya menerima sebuah buku kumpulan puisi oleh Dato' Prof Hashim Yaacub, Naib Canselor UM ketika itu. Buku antologi itu bertajuk Aku Ingin ke Seberang (Kalau aku tidak salah ingat). Tadi malam saya mencuba mencari buku itu, tapi entah di mana saya letakkan. Apapun, saya masih teringat-ingat puisi beliau tentang perangai seekor anjing dan kucing. Anjing, binatang setia, ada kalanya tuannya mati, ia turut menunggu tuannya sampai ia sendiri mati. Kucing, siapa yang bagi makan, itulah tuannya.
Saya teringat perilaku pasca pilihanraya di Perak, akhbar hari minggu lalu melaporkan tentang tindakan persatuan ketua-ketua kampung di Perak yang tidak akan mengikuti apa-apa arahan daripada kerajaan yang memerintah sekarang. Alasannya mereka dilantik oleh kerajaan yang lalu sehingga 31 Disember 2008 yang akan datang.
Tingkah ini perlu dikaca dari beberapa perspektif agar ia tidak merugikan anggota masyarakat. Kalaupun ingin taat seperti sifat bawaan seekor anjing, saya fikir tindakan itu tidak kena kerana jawatan yang dipegang akan memusnahkan masyarakat sendiri. Kalau memang tidak sebulu lagi dengan atasan, letak saja jawatan, beri kepada orang lain yang boleh bekerjasama. Integriti bukan begitu maksudnya.
Atau, bersikap seperti perangai kucing- siapa yang memberi makan, itulah tuannya. Pragmatisme!! Ada pelbagai pepatah Melayu yang menyebut tentang ketua dan ketaatan ini. Bahkan, ketaatan ada batas yang jelas: raja adil raja dijulang, raja zalim raja disanggah.
Lalu, perumpamaan seekor anjing dan seekor kucing tidak boleh sebagai penanda aras integriti itu.

Wednesday, March 19, 2008

Kuasa Manusia

Aftershocks - itu tajuk utama akhbar The Star hari ini. Akhbar lain juga memperlihatkan tajuk yang hampir sama tentang beberapa menteri kanan harus mengosongkan kantor semalam. Apa yang menakjubkan, setelah beberapa menteri kanan kantoi dalam PRU 12 yang lalu, lalu membawa diri masing-masing, yang menang pula menuntut kerusi. Inilah kuasa manusia, kuasa perlu diberi, berbeza dengan kuasa Tuhan, yang tidak perlu dipinta, tak perlu diberi.

II

Ada kerimasan yang amat sangat bila membaca berita tentang kematian tentera Amerika di Iraq ini. Ada laman web yang khusus untuk memberi tribute kepada tentera yang kiok. Saya sempat melabuh di web berkenaan dan membaca bagaimana hilangnya ibu kepada anak bujangnya yang mati di tengah-tengah Baghdad, isteri yang masih menganggap suaminya akan pulang sedikit masa lagi, padahal nisan suaminya telah terpacak di tanah perkuburan pahlawan. Dan berbagai-bagai lagi.

Lalu, saya tidak dapat membayangkan ratusan ribu rakyat Iraq mati di tangan tentera dan sekutu Amerika. Bahkan dirogol, dipenjara dan seksa dengan teramat sangat. Mereka bukan pahlawan kepada rakyat Amerika, tapi pahlawan kepada keluarga dan negara mereka.

Apakah Amerika melihat rakyat Iraq bukan manusia? Tiada perasaan. Makhluk yang bukan manusia, sama macam sebutir kelapa, boleh dikupas, rebus, perah, buang dan di "makan". Kalau diaturkan jumlah an k kehilangan ibu, bapa, suami hilang isteri dan sebaliknya, memori laman web pun barangkali sendat. Namun inilah perspektif.

Kuasa dan manusia, bila diberi, mereka melampau dan sering melihat orang lain remeh....
Tatkala hilangnya kuasa itu, baru mereka sedar bahawa mereka sama seperti orang lain, ada perasaan dan harga diri. Bila harus kita sedar tentang kuasa umpama elektromagnet ini??

III

Kuasa manusia, manusia berkuasa...

Tuesday, March 18, 2008

Sepulang dari Lubok Weston dan Sipitang

Inilah perjalanan yang memenatkan yang pernah saya alami dalam menjalankan tugasan. Bukanlah jarak Kota Kinabalu (KK) - Beaufort - Sipitang - Lawas - Weston dan ke KK semula sesuatu yang membosankan, tetapi demam pilihan raya yang masih lagi dibicarakan oleh rakyat jelata mengatasi segalanya. Di kedai kopi, di majlis keramaian, dalam kereta sapu, dan di mana jua ada kesempatan, pastilah topik itu dicuit-cuit disentuh-sentuh. Responden-responden kami juga tidak terkecuali, mereka tidak dapat memberi 100% fokus kepada soalan yang diajukan.

Dalam beberapa kesempatan, tugasan saya amat mengecewakan kerana bias percakapan kepada pilihan raya. Ada responden beria-ia mendedahkan identiti sebenar responden yang lain semasa pilihan raya yang lalu. Itulah Sabah, katanya. Namun, demikian tinggi dan takjubnya manusia kepada kuasa dan kekuasaan, dengan kekuasaan itu juga kehancuran mendekati penyandangnya.

Tahun-tahun mendatang ini pastilah beberapa anomali dan kejutan dalam scenario politik tanah air akan berlaku secara spontan. Kehadiran figur-figur besar pastilah merepotkan kawan kita Mona dalam merakam dan mentafsir intipati perbahasan. Seperti para pemangkah di Pekan Bogawan dan nun jauh di pedalaman Lubok Weston, tidak apa yang diingini selain keselesaan hidup dalam negara yang telah lima dasawarsa menyambut laungan Tuanku Abdul Rahman.

Semasa perjalanan pulang ke KL, muka depan Utusan Malaysia menuliskan: DAP BIADAP. Ia satu liabiliti kepada pembaca koran "tersohor" itu. Itukah demokrasi yang difahami oleh para pengamal media?

Monday, March 17, 2008

Trip Sabah dan Prof PK Lam di MSA

Sabah menjanjikan scenario warisan budaya yang pelbagai. Muzik, tari dan masyarakatnya adalah anugerah warisan tak ternilai. Hari Selasa hingga Jumaat malam, saya masih berada di negeri bawah bayu.

Sabtu, sesi bengkel Prof Peter YK Lam dari Univ Chinese of Hong Kong, berceramah tentang tembikar China, yang amat aku nanti dan sukai. Hari ini beliau mengirim e-mail dari HK, menyebut tentang senang dan gembiranya beliau dapat berjumpa saya, melihat artifak dari Pulau Tioman dan tulisan tangan beliau tentang beberapa artifak dari pulau itu, saya sertakan dalam rak-rak pameran. My scrabble is there!!!
Menjelang jam 4.00 petang, majlis Chinese Tea - called phu err tea ceremony started by Mr Ong from Chinese Tea Association on the centre stage. For the first time, I drink a 6 years fermented tea. The taste...really influnced your mind. Its aroma and the style made it up at the certain standard. Eager to try...pls feel free to chinese tea shop.

Thursday, March 6, 2008

Moyang Mah Meri





Moyang Mah Meri - berupa patung ukiran kayu dan juga topeng-topeng antara yang unik yang diwarisi oleh suku Mah Meri di Pulau Carey, Selangor. Antara yang sempat dirakam ialah dua buah Moyang Harimau dan sebuah topeng yang belum siap. Foto-foto itu sekitar tahun akhir 2006.

Kini, sudah didirikan bangsal-bangsal yang lebih modern didirikan dengan bantuan kerajaan, saya tidak pasti apakah daripada JHEOA ataupun daripada KeKWa, tapi sekira-kira 12 bangsal yang menyediakan bahan-bahan ukiran kayu topeng dan patung-patung. Antara pengukir yang berwibawa termasuklah si Luji (adik kepada kak Yah, beliau bisu) tapi menghasilkan seni ukiran patung dan topeng yang luar biasa.

Satu tempat lagi yang menghasilkan seni ukiran ini ialah dari Jerantut, di kalangan masyarakat Jah Hut.

Wednesday, February 13, 2008

Hari Terakhir Anak Sulung Saya di SMK Segambut Jaya



SMK Segambut Jaya adalah sekolah yang menawarkan asrama bagi pelajar lelaki dan perlu mengambil tambahan subjek Bahasa Arab. Semalam adalah hari terakhir anak sulung saya/kami di sekolah tersebut kerana pada 18 Februari 2008 nanti, insya Allah beliau akan mendaftar sebagai pelajar baru di MRSM Alor Gajah.

Anak saya, tidak lama di sana, iaitu dari Ogos 2006 dan ambil PMR 2007. Beliau bertukar sekolah, dari sebuah sekolah swasta ke sekolah berkenaan. Berkat usaha gigih dan tunjuk ajar guru-guru di sekolah berkenaan yang berdedikasi, maka alhamdulillah kejayaan, walaupun kecil, dapat diraih.

Sebagai ibubapa, tidak ada apa yang diharapkan dari anak-anak. Budi kita tidak perlu dibayar dengan wang ringgit, tapi cukuplah mereka menjadi insan berguna, berjaya dalam hidup dan yang penting juga ialah taat kepada perintah Allah.

Hari Isnin nanti, kami sekeluarga akan menghantar beliau ke MRSM Alor Gajah itu. Mudah-mudahan track records beliau di SMK Segambut Jaya dapat diteruskan di sekolah yang baru itu nanti. Sudah tentu satu pengalaman, persaingan dan kawan-kawan baru akan menunggu. Selamat berusaha sehingga berjaya.

Tuesday, February 12, 2008

Batin Nengkah, Kg Kuala Krau




Kampung Kuala Krau adalah salah satu kampung Orang Asli di Pulau Carey, kira-kira 45 minit dari Pekan Teluk Panglima Garang. Jalan tar dan lurus, melewati kawasan kelapa sawit kepunyaan Golden Hope, kemudian masuk melalui ladang tersebut, melalui jalan tanah merah sekira-kira 30 minit perjalanan. Jaraknya, saya kurang pasti. Masa yang diambil dari post pemeriksaan keselamatan ladang ke kampung juga amat bergantung kepada cuaca, sekiranya hujan, maka perjalanan semakin perlahan, atau bukan menggunakan 4WD, pastilah perjalanan lebih lambat. Hari Khamis yang lepas, tidak hujan, dan saya dapat berjumpa Batin Nengkah, Tok Batin Kampung Kurau, Pulau Carey.

Penduduk kampung tidaklah ramai, sekira-kira 20 buah rumah atau keluarga. Suku kaum Mah Meri ini beradaptasi dengan tradisi kelautan, mereka adalah nelayan, tidak seperti suku kaum yang lain seperti di daratan Pahang misalnya yang beradaptasi sumber hutan dan ladang.

Saya disambut oleh Batin Nengkah dengan mesra, tidak ada rasa sombong pada raut mukanya dan tidak ada rasa sangsi kepada saya, sebagai orang luar bertandang ke perkampungannya. Beliau bercerita tentang asal usul kampung ini, bermula sekitar tahun 1990, tatkala mereka mulai berpindah dari satu kawasan yang lain. Asalnya kampung ini sering dinaiki air masin, namun dengan bantuan Kerajaan Negeri Selangor dan JHEOA, maka dibina ban untuk mengelakkan air melimpahi kawasan ini.

Sosok Batin Nengkah yang tidak berpendidikan tinggi tapi berpandangan jauh amat menarik perhatian. Beliau tidak pernah merasa rendah diri walaupun di kalangan bukan masyarakatnya. Justeru itu, saya tidak menyangka yang beliau seorang Orang Asli, sebaliknya orang Teluk Panglima Garang!

Sewaktu rumah-rumah mulai didirikan, Batin Nengkah tidak merebut atau mendirikan rumahnya terlebih dahulu, sebaliknya memastikan anak-anak buahnya memiliki rumah yang sempurna; bertiang dan berbumbung serta berdinding. Sebagai ketua, beliau bersedia berkorban demi melihat kesejahteraan anak buahnya. Beliau juga membuat gaya penempatan berkelompok, tidak membiarkan setiap anak buah mendirikan rumah di tapak tanah masing-masing yang berjauhan. Alasannya - bagaimana untuk menyalurkan insfrastruktur air dan elektrik kalau mereka tinggal berjauhan? Ternyata firasat beliau adalah benar. Apabila elektrik dan air disalurkan, kedua sumber kehidupan itu mudah diakses. Hasilnya, ia sebuah kampung yang kecil dan masyarakatnya peduli antara satu sama lain dan yang lebih penting, mereka menikmati manisnya kemerdekaan:- pembangunan infrastruktur.

Terlalu banyak pengalaman seorang ketua dan orang tua yang dapat saya pelajari dari seorang tok batin. Biar hidup bersederhana, tapi anak-anak buah menghormatinya sebagai ketua.

Dalam perspektif moden, ketua atau leadership, sering dilihat sebagai satu hirarki yang mengutamakan diri si pemilik gelar. Gaji yang lebih tinggi daripada anak-anak buah, rumah yang lebih gah berbanding orang bawahan dan pelbagai alasan diberi kenapa orang bawah tidak perlu lebih dari ketua. Antaranya; salah sendiri kenapa tak belajar sampai pandai macam aku!!

Batin Nengkah menterjemahkan nilai pribadinya dalam satu hirarki masyarakat yang naif.

Rasanya, anak buah batin yang tidak semewah kehidupan di Kuala Lumpur, selesa mendengar nyanyian kecil anak-anak dan bot-bot menangkap ikan berlalu menuju ke Selat Melaka. Petang di Kg Kuala Krau hari Khamis yang lalu, satu perjalanan indahnya budi dan jiwa.


Monday, February 11, 2008

Sanggup Mati

Sanggup mati adalah kiasan rekaan saya yang menterjemah - usaha seseorang untuk meraih peluang yang ada, apatah lagi kalau peluang telah di depan mata. Ada kalanya, kita tidak bersedia dengan peluang yang ada, sedang kita tahu peluang tidak selalu datang dalam kehidupan kita. Pepatah Parsi menyebutkan 3 perkara yang sekiranya terlepas, amat rugi seseorang itu. Anak panah yang dilepaskan dari busurnya, sekiranya terkena kepada yang bukan dimaksudkan, maka menyesal si pemanah. Kedua, kata-kata yang boleh menyinggung perasaan. Ketiga ialah peluang. Unsur ketiga ini adalah yang pa;ing malang kalau terlepas.

Semalam, kelas saya lengang. Kuliah yang sepatutnya bermula jam 8.00 pagi di lewatkan jam 9.00 pagi dan yang datang hanya 5 orang. Alangkah malang pelajar zaman ini apabila segala peluang telah ada, tapi tidak mahu direbut. Apatah lagi, mereka telah pun berada di tahun akhir yang sepatutnya cuti hari raya China, tak dapat bas balik ke kampus, bukan alasan lagi.

Bagaimana untuk menterjemah frasa di atas, kalau kemahuan tidak ada??

Tuesday, January 1, 2008

Peristiwa Akhir Tahun

Penutup tahun 2007, diwarnai dengan tragedi. Banjir di negara kita, kematian Benazir di Pakistan dan pengakuan Menteri Kesihatan tentang aksi lucah beliau dalam rakaman DVD. Apapun tanggapan, blog ini tidak akan membicarakannya, hanya sekedar mengingatkan pentingnya integriti untuk kehidupan ini.